1.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak
berjaya dalam kehidupan. Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk
memastikan harapan mereka tercapai.
Tugasan soalan :
Calon dapat menulis tentang usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk
memastikan harapan ibu bapa mereka tercapai.
Format : Tiada
Cadangan Idea / Isi :
i.
Berusaha untuk mencapai keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan.
ii.
Mendapat didikan agama yang sempurna
iii.
Bergaul dengan orang-orang yang berilmu
iv.
Tidak terlibat dalam gejala sosial
v.
Menghormati orang yang lebih tua
terutama ibu bapa dan guru
vi.
Sentiasa menerima teguran dan nasihat
‘Sejuk
perut ibu yang mengandungnya’. Demikian sebaris ayat yang biasa keluar dari
mulut ibu-ibu yang melihat kejayaan seseorang.Berbunga hati seorang ibu apabila
sebaris ayat itu ditujukan kepadanya. Pengiktirafan spontan sebegini bukanlah
sesuatu yang yang diminta oleh ibu bapa.Namun demikian, anak-anak menceminkan
kedua-dua ibu bapanya. Kejayaan anak-anak melambangkan keberkesanan didikan
mereka. Hal ini memang menjadi idaman setiap ibu bapa. Sehubungan dengan itu, sebagai
anak bukan sedikit usaha yang berterusan yang perlu dilakukan untuk
merealisasikan hasrat tersebut.
‘Usaha
Tangga Kejayaan’. Slogan ini cukup sinonim dengan saya yang masih bergelar
pelajar,Hal ini kerana sebagai seorang pelajar saya perlu berusaha
bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Sebelum menduduki peperiksaan saya perlu menggandakan usaha dengan meluangkan
masa yang lebih untuk mentelaah pelajaran. Sebagai contoh selepas waktu
persekolahan saya akan menghadiri kelas tambahan yang diadakan di sekolah.
Selain itu saya juga akan menghadiri kelas tuisyen malam sekiranya pihak
sekolah tidak mengadakan kelas tambahan.Hal ini kerana saya sedar bahawa kalau
tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Seterusnya saya perlu membuat
latihan-latihan yang guru sediakan tanpa berlengah.Saya juga tanpa rasa segan
silu akan selalu bertanya kepada guru-guru dan rakan-rakan sekiranya saya tidak
dapat menyelesaikan soalan-soalan yang sukar. Usaha yang bersungguh-sungguh
yang jelas dapat dilihat oleh kedua-dua ibu bapa saya, sudah cukup
mengembirakan hati mereka. Dengan izin Allah, dengan mencapai keputusan
cemerlang dalam peperiksaan saya amat berharap agar impian kedua-dua ibu bapa
saya melihat kejayaan saya akan tercapai.
Menyedari
kejayaan di dunia bukanlah segala-galanya, saya juga perlu melengkapi hidup ini
dengan ilmu agama.Oleh hal yang demikian saya menumpukan sepenuh perhatian
semasa ustaz mengajar subjek Pengetahuan Agama Islam di dalam kelas.Segala
kemusykilan yang timbul akan saya kemukakan kepada ustaz yang mengajar. Hal ini
akan membolehkan saya memahami ajaran agama dengan cara yang betul. Selain itu,
saya juga akan melibatkan diri dengan program-program keagamaan yang diadakan
oleh pihak sekolah. Program-program seperti ceramah, sambutan Maulidurrasul,
Ihya Ramadhan, kem solat dan lain-lain akan mendekatkan diri saya dengan Allah.
Selain itu, saya juga akan selalu membaca al- Quran dan mempelajari
kandungannya daripada guru-guru agama yang bertauliah.Segala usaha ini
semestinya akan membentuk peribadi unggul yang akan menjadi kebangaan ibu bapa
saya seterusnya melancarkan usaha-usaha saya untuk mencapai kejayaan di dunia
dan akhirat.
Selain
itu, bergaul dengan orang-orang yang berilmu juga merupakan prasyarat untuk
mencapai kejayaan. Hal ini sebagai mana papatah arab yang bermaksud, sekiranya
berkawan dengan penjual minyak wangi, pastinya kita juga akan terkena juga
wangiannya. Sekiranynya berkawan dengan tukang besi kita akan terpalit bau
besi.Pepatah ini member makna yang cukup beharga dalam saya memilih kawan.
Kawan-kawan yang berilmu sudah semestinya akan menunjukkan jalan yang betul
kepada saya. Malah mereka akan mudah memberi tunjuk ajar kepada saya dalam
masalah pembelajaran. Pembelajaran bersama-sama rakan sebaya yang berilmu akan
mengukuhkan lagi pemahaman terhadap sesuatu subjek.Malah mereka yang berilmu
juga merupakan orang yang berjaya dalam hidup mereka. Oleh itu berdamping
dengan mereka membolehkan saya memahami liku-liku untuk menjadi orang yang
berjaya dalam kehidupan.Oleh yang demikian sudah semestinya akan memenuhi
impian kedua ibu bapa saya.
‘
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.’
Peribahasa ini membawa maksud kejayaan atau sesuatu perkara yang kita inginkan
bukan mudah diperoleh. Hal ini kerana kita terpaksa melepasi onak dan duri
untuk sampai ke destinasinya.Hari ini onak dan duri yang mampu menghalang
kejayaan saya ialah gejala sosial.Saya harus mengelak terlibat dengan gejala
sosial. Hal ini kerana seseorang yang terlibat dengan gejala soial sudah pasti
akan ditimpa pelbagai masalah. Sebagai contoh terlibat dengan gejala lepak,
sudah pasti saya akan menghabiskan masa yang bayak dengan sia-sia. Sedangkan
masa itu emas. Sekiranya masa berlalu sudah pasti tidak akan datang lagi. Sudah
terang lagi bersuluh bahawa mengelakkan diri daripada gejala sosial akan
membuka peluang kepada saya untuk berjaya sekali gus tidak menghampakan harapan
kedua-dua ibu bapa saya.
Bersikap
terbuka dan sedia menerima teguran dan nasihat juga membolehkan saya
memperbaiki diri untuk mencapai kejayaan. Dalam meniti usia, sebagai manusia
biasa kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Oleh yang demikian
nasihat daripada kedua-dua ibu bapa, para guru dan rakan-rakan sangat saya
harapkan. Sebagai contoh, ketika belajar di sekolah bersama-sama rakan sebaya
saya perlu menerima nasihat dan teguran daripada mereka. Sahabat yang baik
tidak akan membiarkan sahabatnya terus hanyut dalam kemaksiatan. Mereka akan
menegur dengan ikhlas. Oleh yang demikian saya harus berlapang dada menerima
teguran dan nasihat daripada mereka. Selain itu, Nasihat dan teguran daripada
guru-guru dan ibu bapa lebih-lebih perlu saya ikuti dan patuhi. Hal ini kerena
mereka ialah orang yang banyak pengalaman dalam hidup. Jelaslah bahawa menerima
teguran dan nasihat akan memastikan kejayaan saya sekali gus tidak menghampakan
harapan ibu bapa saya.
Kesimpulannya,
setiap ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam kehidupan dunia
dan akhirat. Harapan mereka akan tercapai apabila anak-anak mereka memperoleh
kejayaan dalam pelajaran dan seterusnya menjawat jawatan tinggi dalam kerjaya
masing-masing. Oleh yang demikian anak-anak perlu tabah mengharungi onak dan
duri untuk mencapai impian kedua-dua ibu bapa. Hal ini kerana kalau tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya atau genggam bara api biar sampai jadi
arang. Peribahasa ini menuntut saya berusaha secara istiqamah untuk menjayakan
impian keua-dua ibu bapa saya.
No comments:
Post a Comment