Sunday, 10 November 2013

P&P Melalui Blog

SUATU hari anak saya di tahun satu pulang dari  sekolah  telah meminta izin daripada ibunya untuk  menggunakan komputer dan melayari internet.  Katanya, dia mahu menyiapkan tugasan sekolah  yang diberikan  guru yang dimuatkan di dalam  laman blog gurunya itu.

     Mulanya saya tidak percaya, tetapi apabila melihat  sendiri anak saya tekun menyalin tugasan di skrin  komputer menerusi blog guru berkenaan, saya  sendiri kagum  dengan inisiatif dan kreativiti  guru  tersebut.

     “Saya cuma ambil gambar tugasan  di papan  hitam. Masukkan dalam blog saya supaya  murid-murid dapat siapkan tugas mereka di  rumah,” kata Cikgu Nor Faiza Khojali, guru kelas  anak saya itu menjelaskan niat beliau memuatkan  tugasan sekolah di laman blognya  (cikgufaizakhoja.blogspot.com) ketika bertemu  beliau tempoh hari.

     Walaupun langkah yang diambil oleh beliau  mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak  tetapi bagi saya ia adalah langkah besar dalam  kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P).

   Hal ini kerana penggunaan blog seperti itu dan  laman-laman khususnya Facebook  dapat  mempelbagaikan kaedah P&P  dan  guru tidak lagi  terikat dengan “chalk and talk” sekali gus  meningkatkan prestasi pendidikan dan  keseronokan murid-murid untuk belajar.

    Malahan itulah yang diharapkan oleh bekas  Perdana Menteri yang juga pencetus revolusi  teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) di  negara ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad harapkan  daripada kalangan guru di seluruh negara.

    Pada sesi soal jawab sempena Sidang Kemuncak  Kepimpinan anjuran Persatuan Industri Komputer  dan Multimedia Malaysia (PIKOM) di Kuala Lumpur 9 Oktober lalu, Dr. Mahathir mahukan para guru  memperbaharui kaedah P&P agar sektor  perguruan tidak ketinggalan zaman.

    Menurut beliau, ini  dapat dilakukan dengan  menggalakkan para guru menggunakan internet  dan komputer untuk semua mata pelajaran.

    “Kita perlu sedar perkembangan teknologi  maklumat terlalu pantas dan sekiranya para guru  tidak mengambil kesempatan mereka akan  ketinggalan zaman.

    “Saya yakin dengan pendekatan yang lebih moden  iaitu menggunakan internet dan komputer para  pelajar termasuk guru sendiri akan mendapat  pelbagai manfaat,” katanya pada sesi tersebut.

    Saya tidak pasti berapa ramai guru di negara ini  berfikiran seperti Cikgu Nor Faiza, memanfaatkan  aplikasi blog  dan media sosial dalam proses P&P  mereka tetapi seorang sahabat saya yang juga   guru di tingkatan enam sebuah sekolah  menyalurkan nota-nota tambahan kepada para  pelajarnya menerusi Facebook.

    Alasan sahabat saya kerana para pelajar sekarang  lebih berminat dengan bahan-bahan di  Facebook  berbanding membaca buku konvensional.  Tambahan pula kebanyakan telefon bimbit masa  kini dilengkapi dengan aplikasi laman-laman sosial  sehingga memudahkan mereka membaca nota  tersebut di mana sahaja, pada bila-bila masa.

    Berdasarkan carian di internet, ternyata  penggunaan blog dan laman sosial khususnya  Facebook rupanya kini semakin berkembang  dalam kalangan guru di negara ini. Malahan, ia  sudah menjadi modul tidak rasmi para guru dalam  mendidik anak-anak bangsa.

    Melalui blog  misalnya, bukan sahaja guru-guru   dapat memberikan maklum balas kepada para  pelajar dengan cepat dan berkesan malahan para  pelajar juga dapat mengemukakan pendapat  mereka bersama rakan sebaya untuk membina  pengetahuan sendiri.

    Pelajar juga dapat menggunakan ruangan komen   di blog-blog berkenaan  bagi  menggalakkan sikap  saling  membantu antara para pelajar dalam  penulisan mereka dan mendapatkan respon  terhadap sesuatu soalan tanpa memberikan   jawapan yang sama.

    Sementara menerusi Facebook pula, para guru  dapat berinteraksi secara langsung dengan para  pelajarnya sekali gus membolehkan P&P  dijalankan dengan lebih berkesan dan fleksibel.

    Fenomena ini menarik kerana pada awalnya  Facebook sebagai salah satu jaringan sosial yang  bertujuan sebagai tempat saling berinteraksi  antara seorang individu dengan individu lain  kemudian dilihat oleh sebahagian para akademik  sebagai peluang untuk dimanfaatkan bagi tujuan  P&P  atas talian.

    Faedah paling ketara ialah bagi pelajar yang sukar  untuk memberi idea atau bercakap semasa di  dalam kelas atau makmal, maka melalui Facebook  mereka akan mudah terangsang atau teruja untuk  memberi idea sekiranya terdapat di kalangan  pelajar-pelajar lain yang memberi komen  mengenai sesuatu isu yang telah dibangkitkan oleh  guru.

    Hal ini secara tidak langsung memboleh para guru mengetahuai bahawa sebenarnya semua pelajar mereka boleh berkomunikasi dengan baik.

    Ternyata fenomena penggunaan media-media  sosial dalam P&P sudah pun berlaku dalam  kalangan guru-guru di negara ini, cuma mungkin  percambahannya belum meluas dan merata  ekoran pelbagai kekangan, terutamanya liputan  talian internet.

    Bagaimanapun dengan kadar penembusan jalur  lebar negara kini mencapai 66.6 peratus  dan  kadar liputan selular bagi kawasan berpenduduk  ditingkatkan kepada 96.8 peratus sehingga suku  pertama tahun ini, saya percaya masalah liputan  internet bukan lagi isu utama.

    Isu utamanya ialah kemahuan guru-guru itu  sendiri. Bak kata pepatah, “hendak seribu daya,  tak hendak seribu dalih”.

No comments: