Wednesday, 13 November 2013

KARANGAN B CONTOH 1

Sumber: BAHAGIAN B (MODUL BM SPM PECUTAN AKHIR JPN PERAK  2012)

Setiap murid mempunyai  cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.

 Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya murid-murid  berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi  untuk mencapainya. Murid-murid  tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, murid-murid janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata orang tua-tua “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”.  Oleh sebab itu, saya sebagai salah seorang murid,  saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?


Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “ lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi  tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

            Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar  dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah hampir kerana peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa yang lalu tidak akan kembali” maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.

            Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, “practice makes perfect”. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, “praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam hidup.saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga akan membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah “ sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain” dan “ sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit”. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan terutamanya dalam mata pelajaran sains. Tegasnya, saya membuat lebih banyak latihan dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.

Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di sekolah, bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”, “segan bertanya sesat jalan”. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga akan menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar topik yang sama yang telah diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu, saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemrlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Saya tidak akan dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan kedua, malah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip, “gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya”. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau cabaran yang saya hadapi. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah memenuhi kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang akan kita tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan sayatidak akan mudah putus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.

Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa”, Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberianNya.


Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan kerana ini akan menentukan masa depan kita, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh  untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

No comments: