Sumber: (MODUL BM SPM PECUTAN AKHIR JPN
PERAK 2012)
Bahagian A
[30 markah]
(Masa
dicadangkan : 45 minit)
Lihat gambar rajah di
bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mewujudkan
perpaduan kaum. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah
perkataan.
Usaha-usaha
Mewujudkan Perpaduan Kaum
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana
masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina,
India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan
damai malah saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan
bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip
Rukun Negara. Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei
1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata pepatah “bulat
air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Persoalannnya, apakah
usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?
Salah satu usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita
adalah peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat harus menyokong
cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan. Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum
dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk
elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang kaum di
peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah
rendah lagi, usaha untuk membentuk satu
masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih
berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi,
bergaul , bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P
& P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi Malaysia yang
lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu,
menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam kalangan murid.
Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan mereka untuk mengukuhkan
perpaduan kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah
.
Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari
perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Rumah terbuka
bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan
tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan
kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina,
Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat yang
berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh
mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana
sikap bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum
yang ada di negara kita sedia menerima
adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional
masyarakat mengikut kaum yang ada di Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan
hubungan sesama kaum tetapi juga dapat
memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada
setiap perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.
Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat
Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan
aktiviti yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti
hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman
atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari keluarga boleh
diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan berhampiran tempat
tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan.
Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang
dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan
berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang
untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti
hari keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus
menjayakan gagasan 1 Malaysia.
Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat
dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya
di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun
terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan
kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Apabila
diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau menerima
kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum
seperti tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas,
tarian singa dan tarian piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan
Tarian Kollattam oleh masyarakat India. Persembahan kebudayaan yang unik ini
secara tidak langsung dapat menarik
minat pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian
kebudayaan yang ada di negara kita dapat
mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal
maka tak cinta.
Kesimpulannya,
usaha mewujudkan perpaduan kaum perlu
diberi penekanan di
negara kita kerana menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan
kemakmuran. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam memastikan
perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya, rakyat Malaysia perlulah
bersama-sama menjayakan Gagasan 1 Malaysia seperti yang disarankan oleh Yang
Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana
Menteri Malaysia. “ Bersatu teguh,bercerai roboh”.
No comments:
Post a Comment